11.19.2010

Bagaimana mengatasi masalah WiFi yang lembap di rumah?

Isyarat WiFi lemah = sambungan Internet perlahan

Aku masih ingat zaman tatkala kabel LAN adalah satu-satunya pilihan yang ada untuk melayari Internet. Lokasi untuk berinternet amatlah terhad; ditambah pula dengan kabel LAN panjang dan berselirat!

Luckily sekarang ni era internet tanpa wayar. Dengan adanya WiFi, Internet bebas dilayari di mana sahaja - hatta tatkala berada di tandas sekalipun masih boleh membalas email.

Itupun manusia tak pernah bersyukur. Dikatakan pula WiFi ni lembap. Tahukah korang yang kadangkala kesilapan korang sendiri menyebabkan WiFi korang tu lembap?

Maka post kali ini aku berikan tips yang dapat memastikan sambungan WiFi korang berada pada tahap optimum.


Tips #1 Letakkan router korang di tempat strategik

Ramai beranggapan perkara ini adalah remeh - tambahan pula bila interior designer rumah korang (merangkap mak, kakak ataupun isteri) telah menetapkan lokasi khusus untuk diletakkan WiFi router agar dekorasi dalaman rumah enak pada mata mereka yang memandang.

Walhal lokasi router adalah penting untuk menentukan kekuatan isyarat WiFi yang diterima oleh komputer korang.

Letakkan router di bahagian tengah rumah dan elakkan router itu dihalang oleh sebarang objek logam atau dinding konkrit yang menyusahkan isyarat WiFi dicapai oleh komputer korang.


Tips #2 Beli dan pasang WiFi repeater

Seperti namanya, tugas WiFi repeater ini adalah mengulang siar (repeat) isyarat yang dihantar kepada atau diterima daripada WiFi router agar jarak penerimaan WiFi dapat melangkau lebih jauh.

Cara ini amatlah bersesuaian kepada korang yang mempunyai rumah besar atau rumah bertingkat - WiFi repeater diletakkan di antara WiFi router dan komputer.


Tips #3 Tukar saluran pada WiFi router korang

Mungkin ramai yang tidak mengetahui bahawa isyarat WiFi beroperasi pada frekuensi radio 2.4GHz, iaitu frekuensi yang termaktub di bawah rangkaian industri, kajian saintifik dan perubatan (ISM band). Frekuensi yang sama juga diguna pakai oleh beberapa peranti yang lain, seperti Bluetooth dan alat elektronik generasi terbaru.

Apabila kesemua peralatan yang menggunakan frekuensi 2.4GHz beroperasi pada waktu yang sama dan dalam jarak yang dekat, kemungkinan berlakunya pertembungan data yang menyebabkan maklumat daripada komputer gagal dihantar pada WiFi router.

Maka, cuba tukar saluran pada WiFi router korang dengan menetapkan tatacara (setting) yang ada pada router itu. Rujuk manual router korang untuk maklumat lanjut mengenai cara ini.


Tips #4 Punca masalah bukanlah pada WiFi router

Sebaliknya, masalah berpunca daripada komputer korang sendiri. Hal ini mungkin disebabkan network card korang tidak berfungsi dengan baik atau aplikasi network pada komputer korang tidak ditetapkan dengan betul.

Untuk memastikan komputer korang bukanlah dalang penyebab kelembapan ini, cuba lakukan sambungan WiFi di kawasan awam yang menyediakan perkhidmatan WiFi secara percuma (atau kat rumah member korang).


Tips #5 Kemaskini firmware router korang dan kesemua driver yang berkaitan

Bukan semua peralatan elektrik dan elektronik dapat berfungsi dengan sempurna sebaik ia dikilangkan dan dipasarkan. Disebabkan itulah adanya aplikasi "firmware update" - untuk membaiki kelemahan yang ada pada operasi sesebuah peralatan elektrik/elektronik
Kemungkinan masalah kelembapan sambungan yang korang alami adalah kelemahan yang ada pada firmware terdahulu. Maka korang boleh cuba lakukan firmware update pada Wifi router korang yang kebiasaannya dilakukan melalui gateway settings. Driver yang ada dalam komputer korang pula boleh dikemaskini melalui laman web pengilang (manufacturer) network card korang.

No comments: